Raptai Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-13

Balairong Seri yang sudah dihias cantik bagi raptai istiadat pertabalan baginda

Raptai pertabalan baginda Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin telah dijalankan pada 24 April 2007 bertempat di Balairung Seri, Istana Negara yang turut dihadiri oleh Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah. Raptai tersebut memastikan agar upacara yang dijalankan pada hari Khamis kemudiannya berjalan lancar dalam suasana gilang-gemilang dan penuh adat istiadat Melayu.

Seri Paduka berdua mencemar duli melihat sendiri perjalanan raptai lebih sejam itu dari bilik khas Istana Negara dan berpuas hati dengan kelancaran programnya. Lebih 1,500 pegawai dan kakitangan kerajaan daripada pelbagai sektor terlibat dalam menjayakan majlis raptai tersebut.

Terdapat sedikit sebanyak perbezaan di setiap majlis tersebut dan dalam konteks ini, ia melibatkan giliran Yang di-Pertuan Agong dari negeri Terengganu iaitu unsur-unsur atau ciri-ciri dari Terengganu turut diambil kira. Warna-warna dan hiasan dalaman yang mencerminkan keceriaan yang dapat dilihat pada Balairung Seri, Istana Negara, merupakan pilihan baginda berdua terutama Raja Permaisuri Agong.[5]